Ini gambar pemandangan puncak Gunung. Apa yang paling menarik dan cukup mengesankan saya tentang Gunung ini ialah sejarah asal usul adanya Gunung ini yang diceritakan oleh masyarakat sekitar. Paling mengujakan saya ialah Gunung ini pernah menjadi tempat tinggal bagi Puteri Saadong sebelum berpindah ke Gua Ayam kerana merajuk dengan masyarakat sekitar yang tidak memulangkan pinggan mangkuk yang di pinjam darinya dan keadaan pinggan mangkuk yang separuh dipulangkan pula tidak sempurna seperti asal. Terdapat pelbagai gua di dalamnya seperti Gua gajah dimana terdapat satu bongkah batu yang menyerupai gajah dan gua-gua seperti Gua harimau, Gua silat dan Gua bedak juga mempunyai simbol yang mewakili setiap nama gua tersebut yang menguatkan lagi cerita tentang Puteri Saadong ini. Saya sendiri berkesempatan untuk melihat Gua Harimau dan sememangnya ada bongkah batu tersebut. Mengimbas tentang masa kanak-kanak saya dahulu, cukup mengingatkan saya tentang penduduk kampung yang menjadikan hari raya ke dua sebagai hari untuk mengunjungi Gunung ini. Bayangkan kami semua ibarat kelkatu yang keluar selepas hujan bila tiba hari raya ke dua dan bagi saya yang masih mentah ketika itu mengambil peluang untuk mengumpul sebanyak mungkin duit raya. Setiap orang yang datang pada hari tersebut akan memberi gula-gula mahupun duit raya kepada kanak-kanak pada hari tersebut. Namun kenangan tetap kenangan kerana tradisi tersebut sudah dilupakan apabila saya menginjak dewasa.
Inilah sejarah asal usul tentang keberadaan Gunung ini di kampung saya. Renung-renungkan.
No comments:
Post a Comment