Sunday, September 26, 2010

JEJAK KASIH

Raya raya tahun ini tambah bermakna bagi saya apbila berpeluang bertemu kembali dengan teman-teman lama semasa saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang dalam darjah 6. 11 September 2010 satu pertemuan jejak kasih telah diatur bertempat di Gunung Reng dalam suasana yang cukup meriah bagi saya walaupun ketika itu mentari garang memancarkan sinarnya. Sunggu manis dapat bertemu kembali dengan mereka yang menjadi sebahagian daripada pengalaman sewaktu saya membesar, menceriakan dan membuat saya menangis semasa bersama mereka. Tak disangka saya dapat menemui mereka kembali kerana setelah bertahun-tahun dan kini usia saya sudah mencecah 21 tahun barulah kami berpeluang berkumpul bersama menganyam kembali ikatan tersebut. Semuanya sudah berjaya dengan hidup mereka ada di antara mereka yang melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara dan tak kurang juga yang datang hari itu ditemani suami dan dengan perut yang memboyot. Tak percaya melihat wajah teman-teman yang dulunya comot dan selekeh kerana kenakalan mereka namun hari ini gah berdiri mengejar impian mereka.

Inilah wajah-wajah wanita yang menghadiri jejak kasih ini. Betullah apa yang di katakan ikatan silaturahim itu seperti air yang tak akan terputus kerana bertahun berpisah kami masih diberi kesempatan untuk bertemu. Sungguh meriah saya rasakan petang itu, ditemani bunyi petikan gitar yang dimainkan oleh rakan yang sememangnya terkenal dengan kelunakan suaranya dan juga di iringi bunyian air sungai yang tenang berlari serata hilain tawa berkongsi cerita masa dahulu. Banyak cerita yang dikongsikan bersama pada petang itu sehinggakan saya sampai tidak kering gusi memuntahkan ketawa pada petang itu. Pertemuan berakhir dengan janji bahawa jejak kasih ini akan terus berlaku untuk tahun-tahun yang berikutnya. Sememangnya setiap pertemuan itu diakhiri dengan perpisahan namun bagi kami biarlah ajal yang datang memisahkan ikatan antara hati kami.

DALAM DAUN ADA DAUN (MALIM GHOZALI PK)

Tarikh yang mencemaskan bagi saya khususnya iaitu pada 2 september 2010,saya bersama dua orang lagi rakan di tugaskan untuk mengkritik novel Daun karya Malim Ghozali. Permulaannya saya begitu sukar untuk memahami maksud sebenar novel ini sehinggakan saya terpaksa membacanya berulang kali barulah memulakan proses menganalisis novel ini dengan menggunakan teori sosiologikal iaitu mengkritik melalui gambaran masyarakat di dalamnya. Hari khamis yang cukup bermakna dan sedikit mengerunkan sebenarnya bagi saya kerana tidak di sangka penulis turut serta. Sangat biasa orangnya, dalam diam saya mengaguminya yang begitu santai cara pengolahan dan menjelaskan sebenarnya Daun yang dimaksudkan. Rupanya novel tersebut bukanlah bertajuk Daun namun Daun tersebut ialah novel yang dikarang oleh Sifar iaitu merupakan watak utama dalam novel ini. Saya berangapan Sifar itu merupakan gambaran dirinya. Dua jam masa bersama cukup meninggalkan seribu kemanisan dalam pertemuan tersebut, saya masih teringat sehingga detik dan tika ini bagaimana caranya menjelaskan kepada kami semua, cukup senang tidak seperti saya yang terpaksa membaca berulang kali. Pertemuan kali kedua berlaku dalam bentuk khayalan saya apabila membaca Dewan Sastera yang memuatkan analisis tentang novel ini.Gambaran tentang perilaku dan fizikalnya masih tersemai kukuh dalam kotak ingatan saya. Akan saya abadikan peristiwa manis dan sedikit mengerunkan ini. Mungkin inilah jawapan kepada persoalan yang pernah diutarakan oleh Dr. Mawar iaitu siapa penulis yang anda minat?

Inilah wajah-wajah kelegaan selepas bermandikan peluh gemuruh semasa membentang hasil analisis kami. Terima kasih kepada saudari Nganyin yang menjadi pengerusi yang berjaya menghilangkan sedikita gemuruh yang seakan-akan mahu pecah di dada saya.

GUNUNG RENG

Salah satu ciptaan Allah yang menjadi mercu kebangaan saya di tempat kelahiran saya semestinya ialah Gunung ini yang diberi nama Gunung Reng. Berada dekat dengan pesisir sungai sehingga dijadikan tempat tumpuan melakukan aktiviti riadah bagi masyarakat sekitar.

Ini gambar pemandangan puncak Gunung. Apa yang paling menarik dan cukup mengesankan saya tentang Gunung ini ialah sejarah asal usul adanya Gunung ini yang diceritakan oleh masyarakat sekitar. Paling mengujakan saya ialah Gunung ini pernah menjadi tempat tinggal bagi Puteri Saadong sebelum berpindah ke Gua Ayam kerana merajuk dengan masyarakat sekitar yang tidak memulangkan pinggan mangkuk yang di pinjam darinya dan keadaan pinggan mangkuk yang separuh dipulangkan pula tidak sempurna seperti asal. Terdapat pelbagai gua di dalamnya seperti Gua gajah dimana terdapat satu bongkah batu yang menyerupai gajah dan gua-gua seperti Gua harimau, Gua silat dan Gua bedak juga mempunyai simbol yang mewakili setiap nama gua tersebut yang menguatkan lagi cerita tentang Puteri Saadong ini. Saya sendiri berkesempatan untuk melihat Gua Harimau dan sememangnya ada bongkah batu tersebut. Mengimbas tentang masa kanak-kanak saya dahulu, cukup mengingatkan saya tentang penduduk kampung yang menjadikan hari raya ke dua sebagai hari untuk mengunjungi Gunung ini. Bayangkan kami semua ibarat kelkatu yang keluar selepas hujan bila tiba hari raya ke dua dan bagi saya yang masih mentah ketika itu mengambil peluang untuk mengumpul sebanyak mungkin duit raya. Setiap orang yang datang pada hari tersebut akan memberi gula-gula mahupun duit raya kepada kanak-kanak pada hari tersebut. Namun kenangan tetap kenangan kerana tradisi tersebut sudah dilupakan apabila saya menginjak dewasa.

Inilah sejarah asal usul tentang keberadaan Gunung ini di kampung saya. Renung-renungkan.

Wednesday, September 22, 2010

MAKHLUK ALLAH YANG KU KAGUMI

Sepanjang cuti menyambut hari yang mulia,saya dan naik sebu memikirkan apakan entri yang sesuai dengan blog untuk kursus Penulisan Kreatif di bawah Dr. Mawar. Akhirnya saya berjaya memecah tembok kebuntuan setelah melihat seekor burung berwarna hijau yang baru ditangkap oleh pak cik. Daripada itulah saya mendapat inspirasi untuk memasukkan gambar burung ini sebagai entri yang pertama kerana saya cukup mengemari bintang comel ini dari segi luaran dan juga aspek dalaman yang terletak pada burung. Saya cukup teruja melihat warna-warna yang ada pada burung ini seperti tompokan cat yang tumpah secara tidak sengaja dan saya cukup mengagumi semangat yang dimilkinya. Saya melihat burung dengan sudut yang berbeza, melihat dari segi ketabahannya membina sarang, kerajinan mencari makanan, kasih sayang yang sangat tinggi sehingga sanggup melindungi anaknya di bawah lembayung kepaknya dan juga melihat kebebasan yang ada. Kadang-kadang saya menggunakan dunia fantasi saya dengan melihat diri saya dari sudut yang luar biasa iaitu mempunyai kepak ataupun sayap yang tersusun rapi bulunya. Tentu saya bebas meneroka langit, melihat dunia luar dari sudut pandangan atas dan juga menyentuh gebunya awan-awan yang indah berarak dan membentuk ombak lalu menghasilkan pemandangan yang sangat mengasyikkan. Saya cukup mengkagumi semangat burung yang tabah meredah hujan mahupun perjalanan yang beribu-ribu jauhnya apabila tiba musim yang sesuai untuk mereka berhijrah ke petempatan baru. Bagi saya, burung memang makhluk ciptaan Allah yang indah dan begitu misteri.