BANGUN pagiku dikejutkan oleh bunyi bising jiran tetangga yang sibuk keluar mencari rezeki di pagi nan indah buat anak-anak kecil di sarang. Di setiap celahan ranting ramah kedengaran suara-suara jiran berbual. “Aahhhhhh..pagi yang pertama tanpa bunyi muntahan peluru dari perut sibur-sibur” kataku sambil membuka kepak untuk merasai suam-suam kuku panas mentari dan hembusan manja angin bayu. Tak lama lagi akan mekar kembalilah bunga-bunga liar penghias alam di padang yang lunyai dikerjakan oleh makhluk suruhan kuku besi itu dan lahirlah generasi-generasi berkepak di pokok tua ini menjadi penyambung kepada kebebasan yang lama di impikan.
“ Hai..jauh termenung pagi ini encik enggang…”tegurku sambil meneliti enggang yang ku kagumi dalam diam. “Ooohh..pipit rupanya, ingatkan siapa. Aku bukan termenung tapi saja merehatkan mata melihat tumbuhan hijau.” enggang menjawap sambil mengepak sayapnya supaya dapat turut sama merasai kelembutan angin pada pagi itu.
‘Ahh tak lama lagi hidup enggang tentu meriah kerana ku lihat isterinya sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut ahli baru dalam keluarga mereka dengan mengasingkan diri bertapa dalam lekitnya selut dan najis mereka sekelamin serta kulit-kulit buah yang dijadikan tilam indah untuk menyambut bayi mereka’. Sendirian aku berbicara.
Sudah lama saat indah ini di tunggu oleh penduduk yang menghuni pokok tua ini iaitu bebas daripada ketakutan, bebas menghirup udara kebebasan yang sekian lama hilang sejak kumpulan helang yang rakus datang menghuni gunung di hujung padang. Helang tersebutlah yang menjadi dalang menukar fenomena indah ini kepada tragedi hitam, setiap hari ada sahaja wanita, orang tua, kanak-kanak mahupun lelaki dewasa yang menjadi mangsa kuku runcing mereka.
Kedatangan mereka pada mulanya tidaklah menimbulkan keraguaan dalam hati penghuni pokok tua ini, namun lama-kelamaan apabila semakin banyak tanah yang diambil oleh mereka untuk membina petempatan kaum kerabat mereka, penghuni pokok ini termasuk aku mula menghidu petanda yang tidak baik akan berlaku. Semenjak kedatangan mereka dengan fahaman baru mereka itu pelbagai perkara buruk berlaku, kemakmuran yang kami perolehi diragut dan di bawa lari dalam masa yang perlahan-lahan. Tambahan semenjak terbinanya tembok besi sebagai sempadan batas antara pokok tua kami dan gunung mereka, semakin banyak bangsa kami yang terkorban di tangan mereka.
Tembok besi tersebut telah memutuskan hubungan kami dengan dunia luar, kami tidak lagi bebas mengepakkan sayap dan keluar untuk mencari punca pencarian. Aku sendiri sudah beberapa kali hampir-hampir menjadi mangsa kuku mereka. Tak dapat aku bayangkan bagaimana kalau kuku tersebut mencarikkan setiap helaian bulu indah di tubuhku. Sakitnya saat kuku besi hitam itu mula mengoyak halusnya kulitku dan menguraikan semua isi perutku, lalu terkeluarlah segala usus-usus kecil bersama dengan campuran warna najisku, setiap kali kuku itu terbenam tentu darah merahku deras mengalir seperti yang berlaku pada mangsa-mangsa kerakusan yang lain.
“Awak..tolong saya wak..tolong jangan biarkan mereka mengapa-apakan saya”..lemah sekali rayuan yang keluar dari mulut kekasih hatiku. Namun aku hanya mampu melihat kekasihku di bawa pergi oleh kumpulan helang tersebut tanpa kudrat untuk melawan. Aku hanyalah pipit yang tidak terdaya untuk menandingi kehebatan mereka. ‘Maafkan aku kekasih kerana tidak mampu menyelamatkanmu, aku hanya mampu merenungmu sayu yang semakin mengecil di bawa pergi.’ Untaian manik jernih turun membasahi pipiku selepas kata itu ku ucapkan dalam ruang hati.
Itulah peristiwa yang paling mengesankan aku, apabila pertemuan penuh rasa cinta pada petang itu di pinggir padang berlaku tragis apabila kumpulan helang tersebut bertindak menyerangku lalu membawa pergi kekasihku. ‘Ahhhhh..andailah aku bukan pipit, dan aku merupakan garuda atau pun makhluk Allah yang lebih hebat tentu sahaja aku boleh merampasmu kekasih, daripada kuku runcing itu’..gumanku sambil menghentakkan kaki di atas kasarnya kulit kayu pohon tua tempat kami berteduh.
Masih aku ingat betapa rumahku dahulu pernah menjadi mangsa muntahan peluru daripada serangan helang-helang ini. Rumah kecik terletak cantik di hujung ranting yang bercabang sering menjadi kebangaanku namun musnah sekelip mata. Sekilas peristiwa tersebut terlayar di kaca mata. Betapa aku yang ketika itu sedang menikmati hidangan bergegas melarikan diri tanpa sempat mencapai apa-apa kerana terkejut dengan bunyinya bak guruh itu. Mujur aku sempat, kalau tidak aku mesti menjadi mangsa kerakusan helang tersebut dalam merebut pokok yang didiami oleh kami itu. Kalaulah aku tidak sempat menyelamatkan diri hari itu, aku mungkin tidak lagi mampu menhirup udara kebebasan yang kami nikmati, namun kadang-kadang aku selalu berharap nyawaku cepat-cepat di cabut Malaikat Izrail supaya aku tidak dapat mengharungi peristiwa hitam ini.
Pengobaman yang pertama telah meragut banyak nyawa insan kesayanganku bahkan kawin baik yang tidur sesarang juga lunyai dikerjakan dek bom mereka.
“Eh pipit, pagi esok kita pergi ke pinggir padang nak tak? Ajak kawanku pipit batu. “Ermmm kita nak buat apa pergi kesana? Bukan kau tak tahu kawasan tersebut telah dikuasai oleh helang rakus itu, apa kita mahu menempah mautkah dengan ke sana. Balasku dengan nada yang sedikit meninggi.
Entah mengapa, pipit batu berterusan memujuk aku menemaninya, katanya dia ingin sekali melihat indahnya waktu senja ketika mentari mula terbenam menghasilkan remang-remang senja yang cukup indah sekali. “Baiklah kali ini sahaja tahu? Lain kali jangan pernah meminta untuk datang ke tempat bahaya itu lagi”...sahutku dengan lemah sekali namun aku turuti jua kehendaknya yang bagiku sedikit aneh ini.
“Terima kasih, sebab itu aku sayang sangat dengan kau dan andai sampai di sini jodoh kita sebagai sehabat, aku redha dan gembira sebab kau yang terpilih jadi sahabatku”..katanya sambut memeluk dengan erat sekali. Aku merasakan seperti memeluk kapas yang terkena tempias hujan semalam semasa burung pipit batu memelukku, apakah ini petandanya Ya Allah? Terbang bersama merentasi pokok tua kebangaan kami warga penghuni, nyaman bersama tiupan angin dan ditampar mesra dedaun kayu tempat laluan kami sehinggalah tiba ke penghujung padang yang rumput yang meliar tumbuh semakin botak angkara laluan upahan helang rakus tersebut. Laluan itu meninggalkan kesakitan pada padang kami setiap kali di henyak dan di hentam sesuka hati oleh jentera helang untuk membina tembok pemisah mereka.
Sedang asyik aku merenungi remang senja tersebut, telingaku menangkap sesuatu yang tidak elok akan berlaku. Lantas segera aku memusingkan tubuhku ke arah bunyi tersebut dan ternyata benar andaianku. Jelas sekali sekumpulan helang rakus sedang menuju ke arah kami dengan kukunya yang hitam bersinar menampakkan tanda ketidaksabaran untuk membenam dan mengoyak kulit kami berdua. Aku mengumpulkan semua kudrat kecilku lalu terbang selaju mungkin untuk menyelamatkan diri sehingga baru aku tersedar kawanku pipit batu masih di situ merenung remang senja itu.
“Pipit batu, cepat terbang..kau nak matikah masih termenung di situ?”. Kesabaranku mula menghilang diganti dengan seribu kecemasan. “Pergilah kau kawanku menyelamatkan diri, biarkan aku di sini menghadapi mereka, lagi pun indah juga rasanya pergi dalam keadaan remang senja ini”..teriak pipit batu sambil mengepakkan sayapnya menghalau aku pergi. Belum sempat aku membalas kata-katanya, tubuh kawanku disambar kuku hitam itu, mereka mengoyak tubuh sahabatku di depan mataku sendiri. Merah darah yang mengalir bersama lendir dan pekatnya cairan dalam usus hasil makanan pagi tadi masih tersemat kukuh di kotak ingatanku.
Sepantas mungkin aku terbang sehingga merempuh kasar daun-daun kayu kerana terkejut melihat peristiwa itu. Masih sempat aku menoleh ke belakang buat kali terakhir melihat mayat kawanku yang terkulai lesu di kuku mereka. Ada rasa bangga dalam pandangan mata helang rakus tersebut mungkin kerana mampu mengorbankan seorang lagi penduduk di padang ini. Sejak detik kehilangan kawan baikku dan kekasihku aku menjadi pendendam yang setia. Setiap hari aku berlatih untuk melawan mereka kerana aku tak ingin lagi kehilangan orang yang aku sayang di depan mata dan sekurang-kurangnya aku mati dengan bermaruah iaitu membela tanah air sendiri. Lebih bahagia apabila aku dapat bertemu kembali dengan orang-orang yang ku sayang yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan aku sendirian menghadapi si helang rakus.
“Eh tadi kau cakap aku yang termenung, sekarang ni kau pulak ambik hobi aku”...tegur enggang sambil memuntahkan ketawa. “Tak adalah enggang, bukan termenung tapi mengimbau cerita dulu-dulu, masa zaman serangan helang tu”…jawapku dengan memuncungkan sedikit hujung paruhku.
“Biarlah pipit, cerita lama jangan kita ingat kembali. Apa yang penting mereka tidak akan menganggu kita lagi jika perjanjian perdamaian tersebut betul-betul terlaksana”. Terang enggang dengan lebih mendalam. Mungkin memahami keadaanku yang masih trauma dengan kejadian itu. “Itulah harapannya. Moga perjanjian tersebut betul-betul terlaksana kerana jika belum termeterai, nyawa kita semua masih seperti telur di hujung tanduk, masih tidak selamat enggang”..jawapku sambil bangkit daripada dudukku kerana semacam ada bahang api yang membakar tubuhku saat itu.
“Itulah juga harapan sekian penghuni pokok tua ini kerana semenjak kedatangan helang tu, kita menjadi begitu sengsara. Anak kehilangan ayah dan ibu, hilang kekasih dan hilang semuanya angkara mereka. Sedangkan mereka hanyalah pendatang ke tempat kita tapi mereka yang lebih menguasai”...agak lantang enggang mengeluarkan perdapatnya tanda amarah yang sudah mula menguasainya.
“Entahlah enggang aku sendiri tidak tahu di mana silap kita hingga sedemikian rupa nasib bangsa kita, haiwan lain juga seakan tidak mahu menolong kita menghalau helang bahkan ada yang berkawan dan menyalurkan bantuan kepada helang rakus tersebut. Agaknya kita ini tidak dianggap sedara oleh mereka sedangkan semua makhluk Allah ini bersaudara…luahku bersama keluhan kesal.
“Biarlah, kita lihat sajalah perkembangan perjanjian tersebut, moga ada kelebihan buat kita. Aku ke sarang dahulu memberi makan kepada isteriku yang sedang sibuk memanaskan bayi kami di sarang”...sambil berlalu pergi meninggalkan aku kembali sendiri.
‘Jika perjanjian yang direncanakan tidak berhasil tentu aku akan kembali menjadi seperti dahulu. Hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Aku mesti bertindak kali ini’. Tekadku dalam hati. Aku kembali melayarkan kembali ingatan yang terputus dek teguran enggang tadi. Rasanya aku banyak belajar daripada pengalaman yang aku perolehi dan itulah yang menjadi pemangkin kepada rasa dendam yang tertanam dalam diri. Prinsipku jangan biarkan perkara yang sama berulang kepada kita tanpa kita mempertahankannya, walau pun kita mungkin kecundang dalam perjuangan itu tapi bagiku lebih baik begitu, kecundang dalam keadaan terhormat.
Bukan aku tak tahu perangai helang ini yang sukar diajak berunding. Sering memungkiri janji dan banyak tipu helahnya dalam merebut pokok tua milik kami. Pokok tua itulah satu-satunya lambang bangsa kami masih hidup di muka bumi ini dan siapa mereka untuk mempersoalkan hak kami ke atas pokok tua tersebut. Bukannya aku tidak mengetahui niat busuk mereka iaitu untuk menghancurkan pokok tua kebanggaan kami jika jatuh ke tangan mereka. Mungkin mereka ingin melihat kepupusan bangsa kami di muka bumi ini sehinggakan mereka tanpa jemu mengatur strategi dan menghabiskan segala tenaga untuk melawan kami yang sememangnya tidak berdaya ini. Tapi mereka silap dalam membuat perhitungan. Silap kerana mempercayai kami lemah, kami sebenarnya kuat walau pun berperang tanpa senjata hanya berbekalkan batu-batu kecil. Kuat kami kerana sayangnya kami kepada pokok tua ini sehingga mampu membakar api keberanian dalam diri untuk bangkit menentang mereka.
‘Aku tak akan berdiam diri berpeluk tubuh lagi melihat mereka membinasakan kaumku. Mungkin aku nampak lemah kerana saizku namun aku ada kekuatan yang mampu mengalahkan mereka di dalam, biar mereka kenal siapa pipit sebenarnya!’ tekadku dalam hati dengan penuh rasa benci. Aku baru menyedari bahawa sudah lama sebenarnya kami hidup dalam keadaan ketakutan dan menderita, hingga aku tidak mampu lagi terus mengitung hari kerana setiap hari bagiku malam terlalu panjang. Malam yang panjanglah menyebabkan aku dan semua penghuni terpaksa berjaga-jaga daripada lena kerana bimbang helang tersebut akan merempuh sarang kami dan membunuh semua yang ada.
Masih aku teringat bagaimana malam itu aku terdengar jeritan daripada jiranku yang terletak di puncak pokok tua diserang oleh helang tersebut. Aku mendengar suara tangisan anak kecil dan rayuan belas kasihan namun tidak lama yang kedengaran hanyalah ritihan dan terus sepi tanpa suara. Aku memahami walau pun tanpa melihat keadaan pada ketika itu. Mungkin mereka semua telah mati, lunyai di kerjakan oleh helang rakus tersebut. Paginya aku pergi menziarah dan ternyata benar telahanku, mayat-mayat bergelimpangan dan hatiku sebu melihat keadaan itu. Bapanya hancur di perut. Ibunya pula pecah kepala menampakkan otak yang masih berdenyut dan anaknya yang kecil paling mengesankan aku, kakinya hancur di kerjakan.
‘Apakah dosa mereka sehingga mayat ini tidak menampakkan rupa yang sebenarnya. Ahhh..sungguh kejam!’ Raungku dalam hati ketika itu. Sudah banyak rasanya mata indah ini melihat darah yang mengalir di pokok tua ini. Mayat-mayat yang bergelimpangan saban hari. Telinga yang mendengar dengusan amaran mereka, dentuman peluru-peluru mereka. Kepak ini sudah berapa kali membantu mereka yang parah terluka dan kaki ini sudah banyak kali mengangkat batu untuk membalas serangan mereka. Cukuplah dengan apa yang kulalui. Aku tak sanggup lagi menunggu dan terus menunggu kedamaian yang masih samar. Aku rindukan suasana remang senja yang telah lama menghilang, aku rindukan suara pekik hilai tawa kanak-kanak mahu pun orang tua dan aku rindukan kedamaian.
Aku sendiri tidak tahu sampai bila aku harus menunggu. Tapi apa yang penting hari ini aku melihat ada sinar kedamaian semenjak berita tentang perjanjian perdamaian tersebut di war-warkan. Aku tahu ini pagi yang pertama tanpa gangguan bunyi helang rakus tersebut. Tanpa dentuman peluru-peluru mereka dan tanpa perlu menguruskan jenazah kaum aku sendiri. Biarlah aku terus menghirup udara kedamaian ini, biarlah aku terus melihat gelagat kaumku gembira dengan berita tersebut. Akanku menziarahi hujung padang tersebut sekali lagi untuk melihat remang senja yang lama kurindui. Biarlah sekali ini sahaja sudah cukup membahagiakan aku. Mungkin perjanjian tersebut tidak akan dimeterai seperti musim-musim lepas tapi kedamaian yang aku perolehi sekarang sudah cukup membahagiakan aku dan buat penghuni pokok tua ini.
Bukan sekali percubaan untuk memeterai perjanjian tersebut, sudah berkali tapi yang tinggal hanya sekadar janji mainan bibir. Bukan aku tidak tahu akan sikap mereka yang sama sekali enggan menunduk pada permintaan kami penghuni asal ini. Ego dan angkuh, penuh dengan rasa sombong kerana mereka dilindungi kuasa yang lebih besar.
‘Apa mereka fikir aku akn tunduk begitu sahaja? Silap besar anggapan mereka! Aku bukannya pipit biasa, darah pahlawan sudah lama mengalir dalam tubuhku.’ Gemaku dalam hati sambil mataku meliar melihat penghuni yang mula berani keluar.
‘Selamat menikmati kedamaian sementara semua...hari ini kita boleh lakukan semua perkara yang sudah lama kita impikan, kita terselamat buat sementara waktu.’ Monologku sendirian.
Alangkah indahnya kalau kekasihku masih ada. Tentu dia juga gembira sepertiku kerana dia juga inginkan kedamaian ini. Tentu kami bebas terbang meredah awan yang menjadi saksi cinta kami atau pun kami akan berkahwin. ‘Wahhh! Tentu aku sudah mempunyai anak-anak yang comel penyeri hari kami berdua seperti enggang dan isterinya yang sedang menunggu penyambung generasi mereka di pokok tua ini.’ Bisikku dalam hati dengan gembira. Tentu anak-anak kami comel seperti kekasihku dan perkasa seperti aku. Akan aku biarkan mereka bebas terbang di celahan pokok-pokok dan mengajar mereka ilmu terbang dengan bagus supaya mereka menjadi cekap seperti aku.
Aku melayan sahaja angan-angan tersebut tanpa niat untuk menghentikannya kerana bagiku ia sungguh indah sekali. Siapa yang tidak mahu mempunyai zuriat sendiri dan isteri peneman hidup. Kalau helang tersebut tidak datang dan menyerang kekasihku mungkin aku pun sudah menjadi seperti enggang atau sudah mempunyai anak-anak yang sedang membesar sekarang.
Semua sudah berlaku dan aku yang hidup masih perlu teruskan hidup. Aku hanya mahu melihat kedamaian yang akan kami perolehi setelah sekian lama. Nampaknya tak lama lagi tentu pokok tua ini kembali meriah dengan suara-suara mesra penghuni pokok tua yang telah sekian lama menyumbang jasa kepada kami. Aku baru teringat yang aku harus pergi ke sarang enggang untuk berbuaL dengannya sekadar bertegur sapa antara jiran.
Lalu aku terus membersihkan diriku dan menyisir rapi bulu dengan paruhku. Kebersihan diri itu penting bagiku, maka di sebabkan itu aku akan terus memcuci dan menyisir bulu di badanku hinggalah aku berpuas hati. Kuselak setiap helaian bulu yang lembut di tubuhku dengan paruhku bersama dengan air liurku untuk menghilangkan kotoran yang terdapat pada tubuku. Sesudah itu, paruhku akan terus menyisir dan terus menyisir, di setiap inci tubuh sampailah ke ekor yang biasanya agak sukar dicuci bulunya, agak keras sedikit.
“Amboi enggang…macam tahu-tahu aku akan datang ke sarang engkau, padahal pagi tadi aku tidak memberitahu apa-apa pun”. Kataku sambil terus melabuhkan kaki di atas ranting yang berdekatan dengan tempat enggang duduk.
“Memang kau tidak memberitahu apa-apa tapi sekilas ikan di air aku dah boleh baca pergerakanmu. Bukankah tiap-tiap petang kau akan datang ke sarangku? Itu sudah menjadi tradisi dalam rutinmu bukan? Jawap enggang sambil menghadiahkan senyuman kepadaku.
“Nampaknya kau begitu memahami aku enggang..sehinggakan mampu membaca setiap pergerakanku. Aku datang untuk bertanyakan tentang perjanjian perdamaian tersebut. Aku dengar khabar angin mengatakan penjanjian tersebut tidak akan berlansung.” nada suaraku mula berubah menunjukkan betapa aku serius dalam hal ini.
“Seperti yang kau dengar, aku juga mendengar benda yang sama. Nampaknya kita akan kembali hidup dalam ketakutan. Puncanya mereka tidak mahu mengalah dan tetap juga berhasratkan pokok tua ini.” Tambah enggang sambil memandang ke arahku.
“Jadi kedamaian yang kita perolehi sehari ini hanyalah sekadar sehari sahaja bukannya merupakan permulaan hari kepada kedamaian??? Apa sudah hilang akalkah helang rakus tersebut? Pokok tua ini milik kita dan tidak sedarkan mereka yang mereka hanyalah pendatang? Beri betis nak paha pula nampaknya.” Tambahku lagi sambil menghentakkan kaki ke ranting tersebut tanda protes.
“Kau bercakap seolah-olah baru kenal mereka. Bukankah itu memang perangai kebanggaan mereka? Nampaknya anak aku nanti tentu hidup dalam ketakutan. Apalah maknanya kehadiran mereka jika sehari melihat dunia esoknya mati dibunuh dek helang rakus.” sayu enggang berkata-kata. Sekilas kulihat dia menyeka air mata dengan hujung kepaknya.
“Aku tak akan biarkan perkara tersebut berlaku enggang. Kali ini buat kali yang terakhir aku berikrar akan bangkit berjuang jika mereka datang menyerang sekali lagi. Aku akan membela nasib anakmu enggang dan nasib kita semua. Biar si helang durjana itu tahu betapa kita juga mampu melawan dan boleh mengalahkan mereka.” Serius aku mengatakannya.
“Betul tu..aku setuju! Sudah tiba masanya kita semua bersatu dan jangan berpecah lagi kerana kesempatan inilah yang selalu digunakan oleh musuh kita. Kita lawan habis-habisan. Sekurang-kurangnya kita mati dengan bermaruah!” sahut enggan dengan penuh bersemangat.
‘Ahhhh..enggang, sampai bilakah bangsa kita akan terus hidup dalam ketakutan dan penindasan ini? Mata, telinga, hati dan semuanya tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung. Kali ini izinkan aku melindungimu dan keluargamu enggang, kerana hanya dengan cara ini aku dapat menebus silapku dengan kekasihku dan kawanku pipit batu dahulu.’ Hatiku berkata-kata.
“Baiklah enggang, aku pulang dahulu. Mungkin ini bisa menjadi pertemuan kita yang terakhir jika benar perjanjian tersebut gagal di putuskan, baik-baiklah engkau dan isterimu di sini sarangmu ini.” Kataku sambil terus terbang pergi meninggalkan enggang yang terpinga-pinga cuba untuk memahami apa yang berlaku.
Perjalanan pulang ke sarang sengaja kulewatkan kerana ingin mengubat hati yang parah dilukai setelah perjanjian yang diharapkan dapat mengubah nasib kami tidak berjaya dilaksanakan. Aku ibarat baru mendapat madu namun dalam sekelip mata madu tersebut menjadi hempedu. Apakah ini kesudahan nasib bangsa kami yang akan terus dibelenggu dengan penindasan tanpa mendapat secebis rasa simpati dari bangsa luar? Aku baru saja ingin menghirup wangian debunga liar, menikmati remang senja dan menghirup kedamaian namun dalam sekelipa mata anganku musnah. Cukuplah sampai di sini saja kami diuji kerana beban yang ditanggung semakin memberat. Namun aku cuba pasrahkan diri redha dengan yang terjadi. Apa yang pasti esok masih samar dan misteri kerana mungkin aku masih diberi nafas untuk bernyawa atau pun perjalananku mungkin juga berakhir sampai di sini.
Tajamnya tumpahan hujan yang menimpa sarang membuatkan tidur malamku tidak lena dan dalam pancaran guruh itulah aku melihat sekumpulan helang rakus bersama sibur-siburnya menyerang pokok tua kami. Setiap penjuru kami diserang dan setiap helaian daun aku mendengar bunyi dentuman tembakan dan muntahan peluru. ‘Ya Allah, kau berkatilah perjuangan aku malam ini, jika sudah tertulis aku mati biarkan aku meninggal dalam keredhaanMu’ doaku dalam hati dan terus meredah hujan, melawan helang rakus tersebut.
“Walid..abang buat hal lagi.” Kataku sambil mengetuk pintu bilik Walid dengan kuat.
“Abang kau buat apa pulak malam ni??” soal Walid sambil berlalu ke bilikku.
“Ya Allah..Along apa yang kau buat ni!! Bangun sekarang, buang pisau tu! Kata walid sambil merampas pisau tersebut dari tangan Along. Kulihat Along semakin sedar dari mimpinya. Nampaknya Parasomnia yang dihidapi oleh Along semakin teruk.
“Apa yang berlaku ni? Kenapa Walid pegang pisau datang bilik Along ni? Along nak tidur pun tak boleh dalam keadaan lampu terbuka macam ni.” Soal Along bertubi-tubi tanpa mengetahui apa yang berlaku.
“Nampaknya Along mesti dirasuk ketika tidur sekali lagi kan? Tidur lah Along…nanti esok Walid ceritakan apa yang berlaku.” Jawap Walid sambil berlalu pergi.
Akhirnya Along mengerti jua apa yang berlaku selepas melihat suratkhabar yang tertera gambar mangsa terbaru kekejaman rejim Zionis yang telah hancur tanda ditikam dengan pisau bertubi-tubi. Nampaknya dia sekali lagi diserang Parasomnia namun yang anehnya mimpi itu benar-benar ada kebenarannya.
INILAH CERPEN EKPERIMEN YANG DITUGASKAN KEPADA SAYA. HASIL KERINGAT PELUH SAYA SENDIRI......