Sunday, October 31, 2010

KESUKAAN SAYA!!

Sudah lama saya mencari lagu ini untuk dikongsikan dengan anda semua..terima kasih buat azian untuk pemberian ini.....Pertama kali dengar lagu ini saya jatuh cinta, jatuh cinta dengan mainan bahasanya dan juga kerana lagu ini Amaar tujukan khas buat hawanya...sangat romantik. 

Sila nikmati yer.......
tangisan sanubari telah terhenti
kala suram suria memancar sinarnya
pertemuan seindah bayangan firdausi
menjadi zikir kasih yang suci
lukisan dua jiwa menjadi satu
terkenang detik bertemunya kau dan aku
santun berhikmah mengingatkan diri
hidup dan mati hanya untuk ilahi
mengenggam janji cinta ini bertemu kasih tanpa jasad
bicara tanpa suara hanya tulisan bahasa indah
mengeratkan antara kita
hinggalah ke akhirnya
kau kusanjung kerna pengorbanan
bagai puteri di kayangan
tika ku lesu hadapi hidup
kau hembuskan nafas semangat
penawar hati

sebenarnya sudah dua kali percubaan saya menguploadkan video lagu ini tapi tidak berjaya, tergugat kesabaran saya, sengaja ingin menduga agaknya, jadi saya tintakan lagu ini...buat semua.
Semoga anda turut jatuh cinta seperti saya...



Friday, October 29, 2010

So Sweeetttt...


Nampaknya ada sesuatu untuk saya kongsikan dengan kamu semua..kisah pertemuan antara Adam dan Hawa..Oppppss pembetulan ye bukan kisah Nabi Adam tetapi pertemuan antara dua insan yang buat hati kecil saya tersentuh...


Begini ceritanya~~~~
Kisah seorang perempuan yang baik saya kira walaupun saya tidak pernah diberi kesempatan untuk menegurnya bertemu dengan Adamnya dalam facebook yang bagi saya sedikit curiga dengan keikhlasan insan yang kita kenal di alam maya ini. Namun hanya dua panggilan yang dibuat untuk perempuan itu sudah mencukupi untuk Adamnya mengenali kebaikkan Hawanya lalu berkahwin dan selepas tamat sem nia akan bersanding (nikah gantung)....So sweeet....Bercinta selepas berkahwin.....

Ayat yang menyentuh hati saya:
Dengan bersaksikan iman disebelah saya, saya ingin minta izin daripada awak untuk masuk meminang awak....panggilan kedua yang dibuat oleh Adam sehingga menjadikan mereka pasangan yang halal..doa saya moga mereka kekal hingga berkerepot...hehehehe...

Amar dan Jun (cantikan)


Masih menanti Adam yang diciptkan buat saya

Bertuah betul perempuan tersebut dan saya yang mendengar cerita ini menyimpan sedikit perasaan cemburu....cemburu dengan kebahagiaan yang dia miliki.  Hawa yang baik diciptkan untuk Adam yang baik seperti perempuan ini yang baik dan suaminya baik dan paling penting hensem (hehehe)


saya masih lagi sendiri, ternanti Adam yang dijanjikan untuk mengemudi nakhoda kami..moga kisah ini jadi taulan buat semua.

Jodoh itu sudah diaturkan oleh Allah, walaupun kita juga mempunyai perancangan yang tersendiri namun perancangan Allah lebih baik dan lebih indah..penuh dengan misteri dan hikmahnya~~~~~




Wednesday, October 27, 2010

TAUGEH???

Saat hati berkecamuk menggila di dalam sengaja saya melarikan tangan menyusun bicara, malas untuk terus melayan perasaan kerana saya ini sensitif orangnya. Tak tahu mengapa air mata ini begitu murah sekali untuknya biarpun dia di sana tidak pernah melihat atau memujuk dengan pujukan manja menghentikan untaian manik jernih ini. Sekali lagi peristiwa taugeh berlaku untuk kesekian kalinya kerana dia. Taugeh???kenapa saya menamakan peristiwa taugeh sebab taugeh pahit dan peristiwa yang berlaku pada saya juga pahit, namun saya bukanlah orang yang takutkan kepahitan sehingga tidak mahu memakan taugeh kerana bencikan peristiwa yang pahit.


Orang yang takutkan peristiwa yang pahit merupakan orang yang takut untuk berhadapan dengan masa silamnya. Bagi saya peristiwa lalu yang pahit sekadar ingatan kepada diri tidak terjatuh lagi.

Bak kata Shuk...Ain dengan falsafah taugehnya~~
cinta umpama taugeh sedap dimakan walaupun pahit, itulah cinta, manis, asyik namun perselisihan menyebabkan cinta menjadi pahit sepahitnya...
Pengalaman pahit umpama taugeh, dibuang sayang dimakan tidak mahu...

Dan kerana takutkan taugeh buat kali kedua saya mengambil keputusan mengenalinya lebih lama, saat kali pertama bersua tanpa jasad itulah pegangan saya....kalau jodoh tak kemana..

Mengenggam janji cinta ini, bertemu kasih tanpa jasad
bicara tanpa suara hanya tulisan bahasa indah
mengeratkan antara kita
hinggalah keakhirnya~~~
kau ku sanjung kerna pengobanan
bagaikan puteri dikayangan
tika ku lesu hadapi hidup
kau hembuskan nafas semangat
penawar hati~~~~

Sunday, October 24, 2010

PARASOMNIA SANG BURUNG

BANGUN pagiku dikejutkan oleh bunyi bising jiran tetangga yang sibuk keluar mencari rezeki di pagi nan indah buat anak-anak kecil di sarang. Di setiap celahan ranting ramah kedengaran suara-suara jiran berbual. “Aahhhhhh..pagi yang pertama tanpa bunyi muntahan peluru dari perut sibur-sibur” kataku sambil membuka kepak untuk merasai suam-suam kuku panas mentari dan hembusan manja angin bayu. Tak lama lagi akan mekar kembalilah bunga-bunga liar penghias alam di padang yang lunyai dikerjakan oleh makhluk suruhan kuku besi itu dan lahirlah generasi-generasi berkepak di pokok tua ini menjadi penyambung kepada kebebasan yang lama di impikan.
“ Hai..jauh termenung pagi ini encik enggang…”tegurku sambil meneliti enggang yang ku kagumi dalam diam. “Ooohh..pipit rupanya, ingatkan siapa. Aku bukan termenung tapi saja merehatkan mata melihat tumbuhan hijau.” enggang menjawap sambil mengepak sayapnya supaya dapat turut sama merasai kelembutan angin pada pagi itu.
 ‘Ahh tak lama lagi hidup enggang tentu meriah kerana ku lihat isterinya sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut ahli baru dalam keluarga mereka dengan mengasingkan diri bertapa dalam lekitnya selut dan najis mereka sekelamin serta kulit-kulit buah yang dijadikan tilam indah untuk menyambut bayi mereka’. Sendirian aku berbicara.
Sudah lama saat indah ini di tunggu oleh penduduk yang menghuni pokok tua ini iaitu bebas daripada ketakutan, bebas menghirup udara kebebasan yang sekian lama hilang sejak kumpulan helang yang rakus datang menghuni gunung di hujung padang. Helang tersebutlah yang menjadi dalang menukar fenomena indah ini kepada tragedi hitam, setiap hari ada sahaja wanita, orang tua, kanak-kanak mahupun lelaki dewasa yang menjadi mangsa kuku runcing mereka.
 Kedatangan mereka pada mulanya tidaklah menimbulkan keraguaan dalam hati penghuni pokok tua ini, namun lama-kelamaan apabila semakin banyak tanah yang diambil oleh mereka untuk membina petempatan kaum kerabat mereka, penghuni pokok ini termasuk aku mula menghidu petanda yang tidak baik akan berlaku. Semenjak kedatangan mereka dengan fahaman baru mereka itu pelbagai perkara buruk berlaku, kemakmuran yang kami perolehi diragut dan di bawa lari dalam masa yang perlahan-lahan. Tambahan semenjak terbinanya tembok besi sebagai sempadan batas antara pokok tua kami dan gunung mereka, semakin banyak bangsa kami yang terkorban di tangan mereka.
Tembok besi tersebut telah memutuskan hubungan kami dengan dunia luar, kami tidak lagi bebas mengepakkan sayap dan keluar untuk mencari punca pencarian. Aku sendiri sudah beberapa kali hampir-hampir menjadi mangsa kuku mereka. Tak dapat aku bayangkan bagaimana kalau kuku tersebut mencarikkan setiap helaian bulu indah di tubuhku. Sakitnya saat kuku besi hitam itu mula mengoyak halusnya kulitku dan menguraikan semua isi perutku, lalu terkeluarlah segala usus-usus kecil bersama dengan campuran warna najisku, setiap kali kuku itu terbenam tentu darah merahku deras mengalir seperti yang berlaku pada mangsa-mangsa kerakusan yang lain.
“Awak..tolong saya wak..tolong jangan biarkan mereka mengapa-apakan saya”..lemah sekali rayuan yang keluar dari mulut kekasih hatiku. Namun aku hanya mampu melihat kekasihku di bawa pergi oleh kumpulan helang tersebut tanpa kudrat untuk melawan. Aku hanyalah pipit yang tidak terdaya untuk menandingi kehebatan mereka. ‘Maafkan aku kekasih kerana tidak mampu menyelamatkanmu, aku hanya mampu merenungmu sayu yang semakin mengecil di bawa pergi.’ Untaian manik jernih turun membasahi pipiku selepas kata itu ku ucapkan dalam ruang hati.
 Itulah peristiwa yang paling mengesankan aku, apabila pertemuan penuh rasa cinta pada petang itu di pinggir padang berlaku tragis apabila kumpulan helang tersebut bertindak menyerangku lalu membawa pergi kekasihku. ‘Ahhhhh..andailah aku bukan pipit, dan aku merupakan garuda atau pun makhluk Allah yang lebih hebat tentu sahaja aku boleh merampasmu kekasih, daripada kuku runcing itu’..gumanku sambil menghentakkan kaki di atas kasarnya kulit kayu pohon tua tempat kami berteduh.
Masih aku ingat betapa rumahku dahulu pernah menjadi mangsa muntahan peluru daripada serangan helang-helang ini. Rumah kecik terletak cantik di hujung ranting yang bercabang sering menjadi kebangaanku namun musnah sekelip mata. Sekilas peristiwa tersebut terlayar di kaca mata. Betapa aku yang ketika itu sedang menikmati hidangan bergegas melarikan diri tanpa sempat mencapai apa-apa kerana terkejut dengan bunyinya bak guruh itu. Mujur aku sempat, kalau tidak aku mesti menjadi mangsa kerakusan helang tersebut dalam merebut pokok yang didiami oleh kami itu. Kalaulah aku tidak sempat menyelamatkan diri hari itu, aku mungkin tidak lagi mampu menhirup udara kebebasan yang kami nikmati, namun kadang-kadang aku selalu berharap nyawaku cepat-cepat di cabut Malaikat Izrail supaya aku tidak dapat mengharungi peristiwa hitam ini.
Pengobaman yang pertama telah meragut banyak nyawa insan kesayanganku bahkan kawin baik yang tidur sesarang juga lunyai dikerjakan dek bom mereka.
“Eh pipit, pagi esok kita pergi ke pinggir padang nak tak? Ajak kawanku pipit batu. “Ermmm kita nak buat apa pergi kesana? Bukan kau tak tahu kawasan tersebut telah dikuasai oleh helang rakus itu, apa kita mahu menempah mautkah dengan ke sana. Balasku dengan nada yang sedikit meninggi.
Entah mengapa, pipit batu berterusan memujuk aku menemaninya, katanya dia ingin sekali melihat indahnya waktu senja ketika mentari mula terbenam menghasilkan remang-remang senja yang cukup indah sekali. “Baiklah kali ini sahaja tahu? Lain kali jangan pernah meminta untuk datang ke tempat bahaya itu lagi”...sahutku dengan lemah sekali namun aku turuti jua kehendaknya yang bagiku sedikit aneh ini.
“Terima kasih, sebab itu aku sayang sangat dengan kau dan andai sampai di sini jodoh kita sebagai sehabat, aku redha dan gembira sebab kau yang terpilih jadi sahabatku”..katanya sambut memeluk dengan erat sekali. Aku merasakan seperti memeluk kapas yang terkena tempias hujan semalam semasa burung pipit batu memelukku, apakah ini petandanya Ya Allah? Terbang bersama merentasi pokok tua kebangaan kami warga penghuni, nyaman bersama tiupan angin dan ditampar mesra dedaun kayu tempat laluan kami sehinggalah tiba ke penghujung padang yang rumput yang meliar tumbuh semakin botak angkara laluan upahan helang rakus tersebut. Laluan itu meninggalkan kesakitan pada padang kami setiap kali di henyak dan di hentam sesuka hati oleh jentera helang untuk membina tembok pemisah mereka.
Sedang asyik aku merenungi remang senja tersebut, telingaku menangkap sesuatu yang tidak elok akan berlaku. Lantas segera aku memusingkan tubuhku ke arah bunyi tersebut dan ternyata benar andaianku. Jelas sekali sekumpulan helang rakus sedang menuju ke arah kami dengan kukunya yang hitam bersinar menampakkan tanda ketidaksabaran untuk membenam dan mengoyak kulit kami berdua. Aku mengumpulkan semua kudrat kecilku lalu terbang selaju mungkin untuk menyelamatkan diri sehingga baru aku tersedar kawanku pipit batu masih di situ merenung remang senja itu.
“Pipit batu, cepat terbang..kau nak matikah masih termenung di situ?”. Kesabaranku mula menghilang diganti dengan seribu kecemasan. “Pergilah kau kawanku menyelamatkan diri, biarkan aku di sini menghadapi mereka, lagi pun indah juga rasanya pergi dalam keadaan remang senja ini”..teriak pipit batu sambil mengepakkan sayapnya menghalau aku pergi. Belum sempat aku membalas kata-katanya, tubuh kawanku disambar kuku hitam itu, mereka mengoyak tubuh sahabatku di depan mataku sendiri. Merah darah yang mengalir bersama lendir dan pekatnya cairan dalam usus hasil makanan pagi tadi masih tersemat kukuh di kotak ingatanku.
Sepantas mungkin aku terbang sehingga merempuh kasar daun-daun kayu kerana terkejut melihat peristiwa itu. Masih sempat aku menoleh ke belakang buat kali terakhir melihat mayat kawanku yang terkulai lesu di kuku mereka. Ada rasa bangga dalam pandangan mata helang rakus tersebut mungkin kerana mampu mengorbankan seorang lagi penduduk di padang ini. Sejak detik kehilangan kawan baikku dan kekasihku aku menjadi pendendam yang setia. Setiap hari aku berlatih untuk melawan mereka kerana aku tak ingin lagi kehilangan orang yang aku sayang di depan mata dan sekurang-kurangnya aku mati dengan bermaruah iaitu membela tanah air sendiri. Lebih bahagia apabila aku dapat bertemu kembali dengan orang-orang yang ku sayang yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkan aku sendirian menghadapi si helang rakus.
“Eh tadi kau cakap aku yang termenung, sekarang ni kau pulak ambik hobi aku”...tegur enggang sambil memuntahkan ketawa. “Tak adalah enggang, bukan termenung tapi mengimbau cerita dulu-dulu, masa zaman serangan helang tu”…jawapku dengan memuncungkan sedikit hujung paruhku.
“Biarlah pipit, cerita lama jangan kita ingat kembali. Apa yang penting mereka tidak akan menganggu kita lagi jika perjanjian perdamaian tersebut betul-betul terlaksana”. Terang enggang dengan lebih mendalam. Mungkin memahami keadaanku yang masih trauma dengan kejadian itu. “Itulah harapannya. Moga perjanjian tersebut betul-betul terlaksana kerana jika belum termeterai, nyawa kita semua masih seperti telur di hujung tanduk, masih tidak selamat enggang”..jawapku sambil bangkit daripada dudukku kerana semacam ada bahang api yang membakar tubuhku saat itu.
“Itulah juga harapan sekian penghuni pokok tua ini kerana semenjak kedatangan helang tu, kita menjadi begitu sengsara. Anak kehilangan ayah dan ibu, hilang kekasih dan hilang semuanya angkara mereka. Sedangkan mereka hanyalah pendatang ke tempat kita tapi mereka yang lebih menguasai”...agak lantang enggang mengeluarkan perdapatnya tanda amarah yang sudah mula menguasainya.
“Entahlah enggang aku sendiri tidak tahu di mana silap kita hingga sedemikian rupa nasib bangsa kita, haiwan lain juga seakan tidak mahu menolong kita menghalau helang bahkan ada yang berkawan dan menyalurkan bantuan kepada helang rakus tersebut. Agaknya kita ini tidak dianggap sedara oleh mereka sedangkan semua makhluk Allah ini bersaudara…luahku bersama keluhan kesal.
“Biarlah, kita lihat sajalah perkembangan perjanjian tersebut, moga ada kelebihan buat kita. Aku ke sarang dahulu memberi makan kepada isteriku yang sedang sibuk memanaskan bayi kami di sarang”...sambil berlalu pergi meninggalkan aku kembali sendiri.
‘Jika perjanjian yang direncanakan tidak berhasil tentu aku akan kembali menjadi seperti dahulu. Hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Aku mesti bertindak kali ini’. Tekadku dalam hati. Aku kembali melayarkan kembali ingatan yang terputus dek teguran enggang tadi. Rasanya aku banyak belajar daripada pengalaman yang aku perolehi dan itulah yang menjadi pemangkin kepada rasa dendam yang tertanam dalam diri. Prinsipku jangan biarkan perkara yang sama berulang kepada kita tanpa kita mempertahankannya, walau pun kita mungkin kecundang dalam perjuangan itu tapi bagiku lebih baik begitu, kecundang dalam keadaan terhormat.
Bukan aku tak tahu perangai helang ini yang sukar diajak berunding. Sering memungkiri janji dan banyak tipu helahnya dalam merebut pokok tua milik kami. Pokok tua itulah satu-satunya lambang bangsa kami masih hidup di muka bumi ini dan siapa mereka untuk mempersoalkan hak kami ke atas pokok tua tersebut. Bukannya aku tidak mengetahui niat busuk mereka iaitu untuk menghancurkan pokok tua kebanggaan kami jika jatuh ke tangan mereka. Mungkin mereka ingin melihat kepupusan bangsa kami di muka bumi ini sehinggakan mereka tanpa jemu mengatur strategi dan menghabiskan segala tenaga untuk melawan kami yang sememangnya tidak berdaya ini. Tapi mereka silap dalam membuat perhitungan. Silap kerana mempercayai kami lemah, kami sebenarnya kuat walau pun berperang tanpa senjata hanya berbekalkan batu-batu kecil. Kuat kami kerana sayangnya kami kepada pokok tua ini sehingga mampu membakar api keberanian dalam diri untuk bangkit menentang mereka.
‘Aku tak akan berdiam diri berpeluk tubuh lagi melihat mereka membinasakan kaumku. Mungkin aku nampak lemah kerana saizku namun aku ada kekuatan yang mampu mengalahkan mereka di dalam, biar mereka kenal siapa pipit sebenarnya!’ tekadku dalam hati dengan penuh rasa benci. Aku baru menyedari bahawa sudah lama sebenarnya kami hidup dalam keadaan ketakutan dan menderita, hingga aku tidak mampu lagi terus mengitung hari kerana setiap hari bagiku malam terlalu panjang. Malam yang panjanglah menyebabkan aku dan semua penghuni terpaksa berjaga-jaga daripada lena kerana bimbang helang tersebut akan merempuh sarang kami dan membunuh semua yang ada.
Masih aku teringat bagaimana malam itu aku terdengar jeritan daripada jiranku yang terletak di puncak pokok tua diserang oleh helang tersebut. Aku mendengar suara tangisan anak kecil dan rayuan belas kasihan namun tidak lama yang kedengaran hanyalah ritihan dan terus sepi tanpa suara. Aku memahami walau pun tanpa melihat keadaan pada ketika itu. Mungkin mereka semua telah mati, lunyai di kerjakan oleh helang rakus tersebut. Paginya aku pergi menziarah dan ternyata benar telahanku, mayat-mayat bergelimpangan dan hatiku sebu melihat keadaan itu. Bapanya hancur di perut. Ibunya pula pecah kepala menampakkan otak yang masih berdenyut dan anaknya yang kecil paling mengesankan aku, kakinya hancur di kerjakan.
‘Apakah dosa mereka sehingga mayat ini tidak menampakkan rupa yang sebenarnya. Ahhh..sungguh kejam!’ Raungku dalam hati ketika itu. Sudah banyak rasanya mata indah ini melihat darah yang mengalir di pokok tua ini. Mayat-mayat yang bergelimpangan saban hari. Telinga yang mendengar dengusan amaran mereka, dentuman peluru-peluru mereka. Kepak ini sudah berapa kali membantu mereka yang parah terluka dan kaki ini sudah banyak kali mengangkat batu untuk membalas serangan mereka. Cukuplah dengan apa yang kulalui. Aku tak sanggup lagi menunggu dan terus menunggu kedamaian yang masih samar. Aku rindukan suasana remang senja yang telah lama menghilang, aku rindukan suara pekik hilai tawa kanak-kanak mahu pun orang tua dan aku rindukan kedamaian.
Aku sendiri tidak tahu sampai bila aku harus menunggu. Tapi apa yang penting hari ini aku melihat ada sinar kedamaian semenjak berita tentang perjanjian perdamaian tersebut di war-warkan. Aku tahu ini pagi yang pertama tanpa gangguan bunyi helang rakus tersebut. Tanpa dentuman peluru-peluru mereka dan tanpa perlu menguruskan jenazah kaum aku sendiri. Biarlah aku terus menghirup udara kedamaian ini, biarlah aku terus melihat gelagat kaumku gembira dengan berita tersebut. Akanku menziarahi hujung padang tersebut sekali lagi untuk melihat remang senja yang lama kurindui. Biarlah sekali ini sahaja sudah cukup membahagiakan aku. Mungkin perjanjian tersebut tidak akan dimeterai seperti musim-musim lepas tapi kedamaian yang aku perolehi sekarang sudah cukup membahagiakan aku dan buat penghuni pokok tua ini.
Bukan sekali percubaan untuk memeterai perjanjian tersebut, sudah berkali tapi yang tinggal hanya sekadar janji mainan bibir. Bukan aku tidak tahu akan sikap mereka yang sama sekali enggan menunduk pada permintaan kami penghuni asal ini. Ego dan angkuh, penuh dengan rasa sombong kerana mereka dilindungi kuasa yang lebih besar.
‘Apa mereka fikir aku akn tunduk begitu sahaja? Silap besar anggapan mereka! Aku bukannya pipit biasa, darah pahlawan sudah lama mengalir dalam tubuhku.’ Gemaku dalam hati sambil mataku meliar melihat penghuni yang mula berani keluar.
‘Selamat menikmati kedamaian sementara semua...hari ini kita boleh lakukan semua perkara yang sudah lama kita impikan, kita terselamat buat sementara waktu.’ Monologku sendirian.
 Alangkah indahnya kalau kekasihku masih ada. Tentu dia juga gembira sepertiku kerana dia juga inginkan kedamaian ini. Tentu kami bebas terbang meredah awan yang menjadi saksi cinta kami atau pun kami akan berkahwin. ‘Wahhh! Tentu aku sudah mempunyai anak-anak yang comel penyeri hari kami berdua seperti enggang dan isterinya yang sedang menunggu penyambung generasi mereka di pokok tua ini.’ Bisikku dalam hati dengan gembira. Tentu anak-anak kami comel seperti kekasihku dan perkasa seperti aku. Akan aku biarkan mereka bebas terbang di celahan pokok-pokok dan mengajar mereka ilmu terbang dengan bagus supaya mereka menjadi cekap seperti aku.
Aku melayan sahaja angan-angan tersebut tanpa niat untuk menghentikannya kerana bagiku ia sungguh indah sekali. Siapa yang tidak mahu mempunyai zuriat sendiri dan isteri peneman hidup. Kalau helang tersebut tidak datang dan menyerang kekasihku mungkin aku pun sudah menjadi seperti enggang atau sudah mempunyai anak-anak yang sedang membesar sekarang.
Semua sudah berlaku dan aku yang hidup masih perlu teruskan hidup. Aku hanya mahu melihat kedamaian yang akan kami perolehi setelah sekian lama. Nampaknya tak lama lagi tentu pokok tua ini kembali meriah dengan suara-suara mesra penghuni pokok tua yang telah sekian lama menyumbang jasa kepada kami. Aku baru teringat yang aku harus pergi ke sarang enggang untuk berbuaL dengannya sekadar bertegur sapa antara jiran.
Lalu aku terus membersihkan diriku dan menyisir rapi bulu dengan paruhku. Kebersihan diri itu penting bagiku, maka di sebabkan itu aku akan terus memcuci dan menyisir bulu di badanku hinggalah aku berpuas hati. Kuselak setiap helaian bulu yang lembut di tubuhku dengan paruhku bersama dengan air liurku untuk menghilangkan kotoran yang terdapat pada tubuku. Sesudah itu, paruhku akan terus menyisir dan terus menyisir, di setiap inci tubuh sampailah ke ekor yang biasanya agak sukar dicuci bulunya, agak keras sedikit.
“Amboi enggang…macam tahu-tahu aku akan datang ke sarang engkau, padahal pagi tadi aku tidak memberitahu apa-apa pun”. Kataku sambil terus melabuhkan kaki di atas ranting yang berdekatan dengan tempat enggang duduk.
“Memang kau tidak memberitahu apa-apa tapi sekilas ikan di air aku dah boleh baca pergerakanmu. Bukankah tiap-tiap petang kau akan datang ke sarangku? Itu sudah menjadi tradisi dalam rutinmu bukan?  Jawap enggang sambil menghadiahkan senyuman kepadaku.
“Nampaknya kau begitu memahami aku enggang..sehinggakan mampu membaca setiap pergerakanku. Aku datang untuk bertanyakan tentang perjanjian perdamaian tersebut. Aku dengar khabar angin mengatakan penjanjian tersebut tidak akan berlansung.” nada suaraku mula berubah menunjukkan betapa aku serius dalam hal ini.
            “Seperti yang kau dengar, aku juga mendengar benda yang sama. Nampaknya kita akan kembali hidup dalam ketakutan. Puncanya mereka tidak mahu mengalah dan tetap juga berhasratkan pokok tua ini.” Tambah enggang sambil memandang ke arahku.
            “Jadi kedamaian yang kita perolehi sehari ini hanyalah sekadar sehari sahaja bukannya merupakan permulaan hari kepada kedamaian??? Apa sudah hilang akalkah helang rakus tersebut? Pokok tua ini milik kita dan tidak sedarkan mereka yang mereka hanyalah pendatang? Beri betis nak paha pula nampaknya.” Tambahku lagi sambil menghentakkan kaki ke ranting tersebut tanda protes.
            “Kau bercakap seolah-olah baru kenal mereka. Bukankah itu memang perangai kebanggaan mereka? Nampaknya anak aku nanti tentu hidup dalam ketakutan. Apalah maknanya kehadiran mereka jika sehari melihat dunia esoknya mati dibunuh dek helang rakus.” sayu enggang berkata-kata. Sekilas kulihat dia menyeka air mata dengan hujung kepaknya.
            “Aku tak akan biarkan perkara tersebut berlaku enggang. Kali ini buat kali yang terakhir aku berikrar akan bangkit berjuang jika mereka datang menyerang sekali lagi. Aku akan membela nasib anakmu enggang dan nasib kita semua. Biar si helang durjana itu tahu betapa kita juga mampu melawan dan boleh mengalahkan mereka.” Serius aku mengatakannya.
            “Betul tu..aku setuju! Sudah tiba masanya kita semua bersatu dan jangan berpecah lagi kerana kesempatan inilah yang selalu digunakan oleh musuh kita. Kita lawan habis-habisan. Sekurang-kurangnya kita mati dengan bermaruah!” sahut enggan dengan penuh bersemangat.
            ‘Ahhhh..enggang, sampai bilakah bangsa kita akan terus hidup dalam ketakutan dan penindasan ini? Mata, telinga, hati dan semuanya tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung. Kali ini izinkan aku melindungimu dan keluargamu enggang, kerana hanya dengan cara ini aku dapat menebus silapku dengan kekasihku dan kawanku pipit batu dahulu.’ Hatiku berkata-kata.
            “Baiklah enggang, aku pulang dahulu. Mungkin ini bisa menjadi pertemuan kita yang terakhir jika benar perjanjian tersebut gagal di putuskan, baik-baiklah engkau dan isterimu di sini sarangmu ini.” Kataku sambil terus terbang pergi meninggalkan enggang yang terpinga-pinga cuba untuk memahami apa yang berlaku.
            Perjalanan pulang ke sarang sengaja kulewatkan kerana ingin mengubat hati yang parah dilukai setelah perjanjian yang diharapkan dapat mengubah nasib kami tidak berjaya dilaksanakan. Aku ibarat baru mendapat madu namun dalam sekelip mata madu tersebut menjadi hempedu. Apakah ini kesudahan nasib bangsa kami yang akan terus dibelenggu dengan penindasan tanpa mendapat secebis rasa simpati dari bangsa luar? Aku baru saja ingin menghirup wangian debunga liar, menikmati remang senja dan menghirup kedamaian namun dalam sekelipa mata anganku musnah. Cukuplah sampai di sini saja kami diuji kerana beban yang ditanggung semakin memberat. Namun aku cuba pasrahkan diri redha dengan yang terjadi. Apa yang pasti esok masih samar dan misteri kerana mungkin aku masih diberi nafas untuk bernyawa atau pun perjalananku mungkin juga berakhir sampai di sini.
            Tajamnya tumpahan hujan yang menimpa sarang membuatkan tidur malamku tidak lena dan dalam pancaran guruh itulah aku melihat sekumpulan helang rakus bersama sibur-siburnya menyerang pokok tua kami. Setiap penjuru kami diserang dan setiap helaian daun aku mendengar bunyi dentuman tembakan dan muntahan peluru. ‘Ya Allah, kau berkatilah perjuangan aku malam ini, jika sudah tertulis aku mati biarkan aku meninggal dalam keredhaanMu’ doaku dalam hati dan terus meredah hujan, melawan helang rakus tersebut.
            “Walid..abang buat hal lagi.” Kataku sambil mengetuk pintu bilik Walid dengan kuat.
            “Abang kau buat apa pulak malam ni??” soal Walid sambil berlalu ke bilikku.
            “Ya Allah..Along apa yang kau buat ni!! Bangun sekarang, buang pisau tu! Kata walid sambil merampas pisau tersebut dari tangan Along. Kulihat Along semakin sedar dari mimpinya. Nampaknya Parasomnia yang dihidapi oleh Along semakin teruk.
            “Apa yang berlaku ni? Kenapa Walid pegang pisau datang bilik Along ni? Along nak tidur pun tak boleh dalam keadaan lampu terbuka macam ni.” Soal Along bertubi-tubi tanpa mengetahui apa yang berlaku.
            “Nampaknya Along mesti dirasuk ketika tidur sekali lagi kan? Tidur lah Along…nanti esok Walid ceritakan apa yang berlaku.” Jawap Walid sambil berlalu pergi.
            Akhirnya Along mengerti jua apa yang berlaku selepas melihat suratkhabar yang tertera gambar mangsa terbaru kekejaman rejim Zionis yang telah hancur tanda ditikam dengan pisau bertubi-tubi. Nampaknya dia sekali lagi diserang Parasomnia namun yang anehnya mimpi itu benar-benar ada  kebenarannya.

 INILAH CERPEN EKPERIMEN YANG DITUGASKAN KEPADA SAYA. HASIL KERINGAT PELUH SAYA SENDIRI......            

Thursday, October 21, 2010

HARAPAN DI PUNDAK KU

Serasa saya masih baru saya disini, sedar tak sedar saya di tahun 2 dan ada lagi 4 hari sebelum saya BERPERANG. Waktu yang berlari, meninggalkan seribu satu kenangan dalam diri saya, jatuh bangun, penat lelah bermandikan peluh dan keringat bergelar mahasiswi telah saya lalui. Ada manis, pahit, masam dan segalanya yang berbaur dalam kenangan itu. Dan kini, sekali lagi harapan itu tergalas di pundak saya. Tak pernah saya merasa jerih mengalas harapan itu. Harapan daripada WAJAH KEKASIH yang ingin saya berjaya, membela nasib diri dan mereka. Pernah satu ketika saya jatuh hanyut dalam fantasi dunia sepanjang mengalas harapan itu, namun senyuman dan kata-kata perangsang daripada WAJAH KEKASIH ibarat sinaran mentari membakar sumbu pengkuat pada diri. Hingga kini, senyuman dan kata-kata semangat daripada WAJAH KEKASIHLAH yang menjadi baja dan penawar kepada setiap kelukaan yang saya perolehi sepanjang menggalas harapan ini. Andai kata PEPERANGAN KALI INI, saya tewas mungkin kerana kealpaan diri ini bukan mereka. Hanya kalimat kemaafan dapat saya tuturkan sebagai penawar kerana menghancurkan harapan mereka kali ini.


Kedatanganmu tak pernah ku pinta
Namun makin jauh ku berlari
Kau masih disitu...
Dan keranamu
Aku menggalas harapan itu...
Harapan yang tak bisa aku hancurkan
Kerana kedutan pada wajah kekasih
mengingatkan aku...
Betapa kau bukan paksaan tetapi satu kejayaan....


Moga tahun ini, saya dapat imbuhan yang lebih baik daripada tahun-tahun lepas. Doakan saya agar harapan itu tertunai jua akhirnya.

Wednesday, October 20, 2010

BUAH HATI PERTAMA

Tajuk entri saya pada kali mungkin menerbitkan sedikit persoalan dalam hati semua barangkali. Saya sengaja mengusik tasik ketenangan dalam hati wajah kekasih saya barangkali, ingin melihat rangsangan dengan tajuk entri saya kali ini. Apa yang saya maksudkan dengan buah hati pertama ialah bukanlah LELAKI YANG BERGELAR KEKASIH, tetapi cerpen saya yang pertama. Sebelum ini sudah ada percubaan saya menghasilkan cerpen tetapi tidak mampu memuaskan hati saya. Cerpen saya sebelum ini bagaikan helaian bulu burung yang jatuh terawang-awang, tidak ada perkara yang boleh membuat saya jatuh cinta semasa penghasilan cerpen sebelum ini. PARASOMNIA SANG BURUNG, buah hati pertama yang betul-betul buat saya jatuh cinta, tenggelam dalam asyiknya dunia fantasi semasa menghasilkan cerpen ini. Gelisah dan amukan sentiasa berperang dalam diri menanti reaksi DR. MAWAR membaca cerpen yang digarap dengan penuh rasa cinta, asyik dan keringat diri ini. Semua bahan penghasilan cerpen saya peram dalam blog ini seperti gambar burung, Palestin dan gunung yang menjadi latar imaginasi dalam penghasilan cerpen saya.

Sang pipit~watak dalam cerpen ini

Helang si kuku besi

Inilah watak-watak yang saya pilih untuk melakonkan jalan cerita hasil buah fikiran dan larian tangan semasa menghasilakn cerpen PARASOMNIA SANG BURUNG. Moga buah hati yang pertama ini memuaskan hati semua seperti mana cerpen ini berjaya memenuhi keperluan batin saya.

Sunday, October 17, 2010

MINAT VS CINTA

Apa beza dengan cinta ya??? Ada beza ataupun hanya perkataan yang berbeza??? Bagi saya baik dari segi abjad, perkataan dan mahupun lapisan dalamannya memang berbeza. Minat hanya sekadar kita suka melihat orang tersebut tanpa berusaha untuk memilikinya namun cinta kita melihat dan disusuli dengan usaha untuk mendapatkannya, berusaha untuk menjaga hatinya dan berusaha untuk terus jatuh cinta padanya. Saya suka mengimbau kenangan zaman kecil-kecil dahulu, saya pernah meminati seseorang, suka curi-curi pandangnya dari jauh kerana minat namun tidaklah sampai ke tahap jatuh cinta. Musim yang berlalu pergi membesarkan saya dan minat saya juga turut berlalu pergi, beralih dari seorang kepada seorang yang pernah saya jumpa. Tapi minat sahaja bukannya cinta. Itulah perbezaan minat dan cinta bagi saya, minat umpama musim yang terus berubah bersama masa.


Bagaimana pula dengan cinta ya??? Bagi saya cinta anugerah terindah dari Allah, setiap manusia diciptakan berpasangan, teman menempuh onak duri agar perjalanan tidaklah sesukar mana untuk ditempuhi. 

Cinta bukannya sekadar memberi, 
namun harus saling memberi dan menerima.....

Belajar menerima setiap inci kekeurangan yang ada pada insan yang kita sayang, jadikan setiap kekurangan itu satu keistimewaan, keunikan yang membuat anda tertawan padanya. Cinta luas maksudnya, sukar untuk mendedahkan setiap inci ruang yang yang ada membicarakan dan mendefinisikan cinta. Bagi saya, jatuh cinta bila saya suka melihat senyumannya, mendengar hilaian ketawanya, senyum sinisnya, bebelannya dan segalanya tentang dia. Baka kata ibu saya 'kalau dah suka panau pun nampak cantik'...saya rasa begitu agaknya. 

Ya jatuh cinta bagi saya seperti tidur diselimuti gebunya awan, lembut dan nyawan, satu perasaan yang indah. Itulah bezanya dengan minat dan cinta.

Buat kekasih-kekasihku,
Terima kasih di atas rasa cinta ini,
Izinkanku terus menikmati rasa cinta ini,
Hingga jasad diceraikan,
Kerana cinta inilah menjadi sinar mentari hidupku....
Saat terjatuh dan terluka cinta itulah penguatku,
Penyuluh sirna dalam kegelapan,
Kerana cinta itulah yang ku inginkan....

Thursday, October 14, 2010

JATUH CINTA!!!!

Sudah lama saya tidak melarikan tangan melakar kata di kata blog ini, mungkin kerana kesibukkan yang sengaja yang dibuat-buat dan juga kerana idea yang ada masih ingin diperam. Masih saya ingat, saya selalu memberi alasan apabila diajak teman sebilik (masuk 2 tahun kami bersama) untuk turut membuat blog sepertinya, mungkin saya tidak tertarik pada masa itu. Namun selepas itu, saya bagaikan orang yang baru kali pertama jatuh cinta, gila untuk terus mencurah idea-idea yang sedia ada ditambah dengan imaginasi dan fantasi saya. Satu keanehan yang saya rasakan dan begitu juga dengan minat saya terhadap lagu english. Saya cukup tidak mengemari lagu dalam bahasa english, barangkali ketidakpadaian saya bertutur yang menjadi kekangan ataupun sebagainya. Entah mengapa saya sekali lagi jatuh cinta akan lagu english yang dinyanyikan oleh MAHER ZAIN. Jatuh cinta itulah yang menyebabkan saya berulang kali mendengar lagu Maher zain terutamanya FOR THE REST OF MY LIFE sehinggakan keasyikan jatuh cinta itu mendorong saya menyalin setiap bait kata indah itu dan ditampal bersebelahan dengan nota-nota kesayangan saya.
    Saya coretkan kembali lirik lagunya untuk insan-insan yang bergelar kekasih kepada saya. Mungkin saudara semua akan turut jatuh cinta seperti saya. 


FOR THE REST OF MY LIFE
I praise Allah for sending me you my love
you found me home and sail with me
and i'm here with you
now let me let you know
you've opened my heart
i was always thinking that 
love was wrong
but everthing was changed when you came along oh oh..
and there's a couple words
i want to say
for the rest of my life
i'll be with you
i'll stay by your side
honest and true
till the end of my time~~~
i'll be loving you
loving you~~~
for the rest of my life
through days and nights 
i'll thank Allah
for open my eyes
now and forever i...
i'll be there for you~~`
i know that deep in my heart
i feel so blessed
when i think of you
and i ask Allah to bless all we do~~~
you're my wife and my friend and my strength
and i pray we're together in Jannah
now i found myself
i feel so strong
yes everthing was changed
when you came along oh oh...
and now that you're here
infront of me
i strongly feel love
and i have no doubt
and i'll sing it loud
that i will love you eternelly........

Thursday, October 7, 2010

Roti Jala


Pertama kali melihat foto ini, kecur saya dibuatnya, terbayang keenakan andai dapat saya menikmatinya pada waktu petang. Alangkah nikmatnya jika saya dapat menikmatinya ketika saya sedang memerhati hidangan tersebut sebagai tuntutan memenuhi tugasan ataupun kami semua gelarkan kerja rumah daripada pensyarah kami. Saya cukup teruja dengan namanya yang mencantumkan dua perkara yang berbeza namun menghasilkan nama yang cukup kreatif bagi saya. Bersesuaian dengan corak roti tersebut yang seakan-akan jalinan jala. Cukup memikat hati saya.
Saya bayangkan tangan yang cantik sedang memegang bekas yang berisi acuan didalamnya lalu melarikan bekas tersebut diatas kuali leper berulang kali sehingga membentuk jalinan seperti jala. Selepas itu dihidang pula dengan kari ayam yang pekat kuahnya dan dimakan bersama potongan kentang yang begitu lembut. Roti jala yang dicicah dengan kari yang pekat cukup mengiurkan saya, apatah lagi jika roti jala dicarik kecil-kecil lalu dimakan bersama daging ayam yang lembut dan juga kentang. Potongan kentang yang sederhana besarnya disiram dengan merahnya kuah kari membentuk satu keindahan pada warna kentang tersebut.

Inilah bekas acuan roti jala

Bayangkan jika kita menikmati roti jala pada waktu petang sambil duduk dilaman memerhati keindahan alam. Angin yang begitu mesra menjamah tubuh sambil ditemani bunyian merdu alam. Bertuahnya jika mampu menikmatinya dengan suasana indah sebegitu.

Tuesday, October 5, 2010

KENAPA PUTIH???

Persoalan yang sama namun dibangkitkan oleh dua insan yang berbeza iaitu kenapa semua sandal/ selipar saya warna putih? Kenapa ya?? Saya sendiri tiada jawapan yang khusus untuk persoalan ini namun setiap kali saya memilih dan membeli selipar saya tentu memilih yang berwarna putih. Seakan-akan saya dan warna putih di kaki saya sangat serasi, saya rasa saya yakin untuk berjalan dengan selipar mahupun kasut yang berwarna putih. Saya tidak ada tarikh keramat tentang kenapa suka selipar ataupun sandal putih namun yang pasti sejak melangkah ke tingkatan 6, saya tertarik dengan warna ini. Agak aneh bagi saya kerana saya hanya meminati selipar ataupun sandal sahaja yang berwarna putih dan tidak dengan benda lain, contohnya bab baju saya lebih sukakan pink begitu juga dengan bantal dan sebagainya yang lebih banyak menjurus kepada warna pink tidak putih.


Mungkin kerana saya merasakan putih itu kebebasan maka saya selalu memilih selipar ataupun sandal yang berwarna putih. Mewakili diri saya yang sukakan kebebasan dan kedamaian, bebas berlari menghirup udara segar tanpa apa-apa ancaman. Apa yang  pasti dengan warna ini ialah saya sukakannya setiap kali berada di kaki saya. Inilah gambar antara koleksi selipar saya yang berwarna putih. Melangkah dengan penuh bergaya.
 

Monday, October 4, 2010

GURU TERBAIK

Bagi saya guru yang terbaik sekali ialah PENGALAMAN. Saya banyak menjadikan pengalaman yang lepas-lepas sebagai panduan agar saya tidak lagi kembali melakukan kesilapan yang pernah saya lakukan dalam hidup. Ya, sudah semestinya saya berterima kasih dengan cikgu-cikgu yang banyak mendidik saya dan tanpa cikgu siapalah saya, mungkin tidak mampu pun membaca dan menulis. Tapi saya juga menjadikan pengalaman sebagai guru saya sebab saya paling tidak gemar kalau saya sakit ataupun terluka dalam perjalanan kerana perkara yang pernah saya lalui dahulu. Pernah dua kali saya terluka sebab melakukan kesilapan yang sama dan di sebabkan rasa sakit tersebut saya bertekad dalam hati apa yang pernah berlaku biarkan berlaku sekali sahaja dalam hidup terutama yang melibatkan kesilapan. Orang yang bodoh adalah orang yang tidak mahu belajar dari kesilapan bagi saya. Mungkin disebabkan saya tidak mahu perkara yang sama berulang lagi maka saya agak sukar nak memaafkan orang yang pernah menyakitkan hati saya sampai dua kali, walaupun kadang-kadang saya bibir saya menuturkan kemaafan namun hati saya tidak pernah boleh memaafkan. Saya jenis yang mudah serik dan sukar memaafkan sebenarnya dan di sebabkan itu saya akan cuba mengelak untuk luka di tempat yang sama berulang kali.

Saya juga banyak mengutip pengalaman daripada orang sekeliling saya, keluarga, teman-teman dan masyarakat sekitar saya. Bagi saya pengalaman itu ibarat mutiara, saya memungutnya satu-satu supaya saya tahu apa akibat yang bakal saya tempuh jika saya berbuat demikian. Pengalaman-pengalaman yang saya kutip itulah menjadi mutiara kata dalam hidup saya yang saya pegang hingga kini. Pengalaman banyak mendewasakan saya.

Saturday, October 2, 2010

LEMANG




Juadah yang paling saya suka bila tiba hari raya ialah lemang. Mesti saya cari pada pagi raya sebagai permulaan hari yang bermakna itu sebelum berkumpul untuk bersalaman denga keluarga. Kadang-kadang saya terfikir juga kenapa dinamakan lemang dan mengapa perlu di masak dalam buluh??? Tapi persoalan hanya tinggal tanda tanya sebab saya tdak pernah bertanya untuk memecahkan kebuntuan saya yang saya tahu saya mesti nak makan lemang pada hari raya. Raya yang baru di berlalu ini meninggalkan seribu satu kenangan kepada saya tentang lemang, bayangkan pada sehari sebelum raya, kami semua berkumpul di rumah atuk untuk membakar lemang yang sangat banyak. Tapi tetap berjaya di habiskan pada hari raya tersebut bahkan saya yang hantu lemang ini juga hanya makan sedikit sahaja. Oleh kerana lemang yang berjaya di makan oleh saya sedikit sahaja maka saya telah meminta abah saya membakar lemang buat kali yang kedua. Tertunailah impan saya apabila pada hari raya yang lima, kami sekeluarga kembali bergotong royong membakar lemang. Kali pertama saya memakan lemang buatan saya sendiri kerana saya berkesempatan memasukkan beras dalam buluh bersama santan dan turut menolong abah membakarnya. Mungkin manis lemang tersebut kerana buatan saya agaknya.


                                               

Paling bagus bila lemang di makan bersama rendang. Tak kisahlah rendang apa yang paling penting rendang buatan ibu saya. Kecur air lur saya bila tengok lemang dan rendang dah siap terhidang atas meja pada pagi raya. Tapi ada satu lemang yang saya tidak berapa gemar iaitu lemang gandum, isinya bukan beras pulut tetapi daripada gandum. Pak sedara saya iaitu pak teh saya gemarkan lemang jenis ini. Bagi saya lemang ini manis sedikit dan cantik sebab berwarna warni. Nak makan pun sayang agaknya tapi bukan sebab sayangkan kecantikan warna yang ada padanya menyebabkan saya tidak mengemari lemang gandum ini namun saya lebih terpikat dengan lemang beras.

Friday, October 1, 2010

SECEBIS TENTANG PALESTIN

Saya daripada dulu lagi cukup sensitif dan mudah terusik apabila membaca ataupun melihat gambar yang berkaitan dengan Palestin, bumi yang tak pernah aman. Saban masa saya mendengar dan membaca berita yang berkaitan dengan Palestin ini namun timbul dalam benak fikiran saya bilakah masalah dan peperangan ini akan berkhir?? Tepuk dada tanya hati yang semestinya saya tahu peperangan ini tidak akan pernah selesai jika masih ada lagi yang enggan berundur dari Palestin ini. Namun saya mengagumi semangat yang terdapat dalam diri masyarakat Palestin khususnya yang bangkit melawan walaupun hanya berbekalkan batu-batu dan kudrat empat kerat mereka. Mungkin disebabkan teruja dengan rasa kecintaan yang terlalu tinggi dalam diri mereka di samping rasa belas kasihan dengan mereka menyebabkan saya menulisnya sebagai salah satu entri dalam blog saya. Hati saya cukup terusik apabila melihat gambar-gambar bayi yang tidak berdosa namun menjadi mangsa, air mata ini seakan ingin keluar kerana saya sensitif orangnya dan halus jiwanya sehingga saya boleh menangis di sebabkan hal yang kecil. Saya juga kagum dengan semangat yang dimiliki oleh wanita-wanita Palestin yang turut sama membantu menyalurkan bantuan dalam bentuk tenaga iaitu turut sama melawan. Membaca kisah Palestin mengingatkan saya kepada salah satu sajak karya Usman Awang. Kita hayatilah bersama.




THAURAH PALESTIN~USMAN AWANG
 Saudaraku Rakyat Palestin
Semangatmu lebih waja dari kereta kebal Israel
Genggaman tanganmu lebih kuat dari bom Zionis
Kau berikan cakrawala baru
Thaurah Palestin

Dengarkan di mana-mana suara menjawabnya
Perjuangan berani yang tak terkalahkan
Suara rakyat sejagat mengutuk penindasmu
Lihat jutaan mata terbuka sudah
Siapa tulang belakang menjulang kekejaman
Yang membunuh anak-anakmu

Saudaraku Rakyat Palestin
Tiba-tiba airmata jadi bara
Tiba-tiba anak-anak jadi dewasa
Tiba-tiba bilik kuliah jadi api
Senjata musuh sekadar dapat mematikan
Tetapi tidak berhasil membunuh semangat kepahlawanan
Penjara musuh sekadar memagari insan
Tetapi tidak dapat menahan gema menjerit keberanian
Yang dijawab oleh jutaan suara kebenaran
Semuanya dengan satu slogan
Mara Palestin
Thaurah Palestin

AKEDEMI SASTERA

Kali pertama saya berpeluang untuk melihat akedemi sastera yang berlansung di Dewan Bahasa dan Pustaka yang berlangsung selama dua hari iaitu hari rabu 29/09-30/10/2010 pada hari khamis. Saya bersama teman yang lain berpeluang menimba sendiri ilmu yang berguna ini pada hari khamis pada pukul 8.00 sehinggalah berakhir pada pukul 5.30 petang lebih kurang. Saya cukup teruja buat pertama kalinya melihat dan memijak kaki di Dewan Bahasa dan Pustaka. Permulaan perjalanan kami tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang membuatkan saya dan teman yang lain merasa sedikit bosan, tetapi sesudah sampai kami di sambut mesra dan di bawaa oleh pensyarah bagi kursus novel melayu iaitu Che Lah yang bertindak bapa kepada kami semua. Kami mendaftarkan diri lalu di bawa masuk ke dalam dewan dimana acara sudah pun bermula. Wahh! ternyata semua berbakat dan kawan saya juga turut terlibat dalam sesi mengupas hasil sastera dengan mengunakan teori psikologi dalam novel Orang Malaya. Rasanya pengetahuan yang saya miliki berkenaan teori tidaklah sedalam makna kerana buktinya pada hari itu pelbagai teori yang saya tidak ketahui turut di gunakan oleh para pesertan yang terdiri daripada sepuluh buah universiti.
Semasa pertandingan tersebut berlangsung saya tertarik dengan seorang peserta wanita daripada UITM yang sangat bersahaja cara pengolahan dan penyampaiannya. Peserta wanita tersebut telah mengkaji drama dan dia boleh berdialog dengan baik. Saya kira dia mesti terdiri daripada orang teater dan ternyata dugaan sata benar.

Inilah wajah-wajah wanita kelas saya yang sempat berposing sakan pada hari itu sementara menunggu untuk masuk ke dalam dewan pada pukul 2.30 selepas makan dan solat. Gambar ini di rakam di hadapan Galeri Keris Mas semasa para teruna pergi menunaikan menghambakan diri kepada Allah. Semua memakai baju kebanggaan kami yang cantik berwarna kuning ini. Sesungguhnya kenangan indah bersama mereka akan saya abadikan sepanjang hidup saya. 


PARASOMNIA

Dirasuk ketika tidur ataupur di gelar juga parasomnia telah menarik hati saya untuk di jadikan salah satu entri dalam blog saya. Saya memilih parasomnia ini kerana merasa tertarik dengan makna di sebalik perkataan tersebut iaitu di rasuk ketika tidur. Membaca artikel tentang ini saya seolah-olah mengimbau ataupun berada pada zaman ketika saya masih di alam persekolahan. Sewaktu kecil-kecil dahulu saya gemar berkumpul di rumah atuk dan nenek dan bermalam bersama. Setiap malam saya pasti akan di kejutkan dengan perlakuan sepupu lelaki saya yang selalu di rasuk ketika tidur. Sepupu saya akan bangun bermain guli, membuka pintu dan pernah sekali kami semua di kejutkan dengan kehilangannya pada malam itu namun setelah di selidik sepupu lelaki saya itu berada di reban ayam. Bayangkan perasaan kami semua yang panik mencarinya.
Inilah yang dimaksudkan dengan parasomnia ataupun dirasuk ketika tidur. Masyarakat Melayu mengatakan di rasuk ketika tidur ini ada kaitan dengan makhluk halus iaitu kita akan di tindih oleh makhluk hitam yang besar sehingga kita merasa sukar untuk bernafas. Namun ini ditentang oleh Saintis kerana bagi mereka parasomnia tidak melibatkan makhluk halus tetapi badan kita tidur terlebih awal daripada otak sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang boleh membahayakan diri kita sendiri seperti mencederakan orang lain, membunuh, mencederakan diri kita dengan terjun dari tingkap rumah dan sebagainya. Inilah yang di panggil parasomnia ataupun di rasuk ketika tidur yang pernah menjadi sebahagian daripada proses saya membesar.






Inilah gambar dewan sastera bulan september yang memuatkan artikel ini.